DIA ITU RIAK TAK LAYAK MENEGUR

by - April 14, 2016


Isu Dr Harlina: Tegur pun salah, miskinnya nilai budi kita !

Dr. Harlina menegur si peniaga agar lebih bersopan dalam perbualan dengan pelanggan.

"Jangan biadap!”

Ini skrip aktor Beto Kusyairy yang saya paling suka dalam drama Istanbul Aku Datang.

Tapi beberapa hari lepas, ramai pula yang biadap secara berjemaah di Facebook Dr. Harlina Halizah Siraj. Semuanya gara-gara tindakan beliau menegur seorang penjual online yang memanggilnya dengan panggilan “awak”.

Bantu saya faham. Apa masalahnya? Adakah kerana beliau menegaskan gelaran “Dr.”?

“Dia tu riak. Tak layak menegur.”

Mungkin itulah yang menyebabkan orang marah sangat dengan Dr. Harlina. Walau bagaimana lembut dan berhemah posting di Facebook Dr. Harlina itu, semuanya tidak ternampak kerana gelaran “Dr.” Itu jauh lebih besar daripada maksud sebenar yang cuba disampaikan.

Mungkin sebab itu teguran tersebut susah diterima, lantas menjadi bahan kutukan dan menghalalkan lemparan kata-kata kesat kepada wanita berusia 50 tahun ini.

Alangkah miskinnya nilai budi kita, ya?

Ada seseorang pernah beritahu saya, untuk mencapai tahap kematangan tinggi kita perlu melatih diri agar berupaya melihat gambaran besar atau ‘big picture’ supaya pertimbangan kita mengambil kira semua aspek sebelum menghukum atau buat keputusan.

Gambaran kecilnya, Dr. Harlina menegur seorang penjual online tentang gelaran dan kata ganti nama.

Gambaran lebih besar, yang ditegur Dr Harlina  adalah tentang adab dan budi bahasa. Lagikan pula individu itu berniaga. Ini satu peluang untuk usahawan ini berubah ke arah yang lebih baik.

Seorang tenaga pengajar dalam kelas yang saya selalu hadiri pernah berkongsi: “People buy because of you. People buy because of emotion. People buy because of their reasons, not yours.”

Inilah betapa pentingnya komunikasi dalam berniaga. Inilah yang Dr. Harlina cuba bantu didik. Tapi kita cuma nampak gelaran “Dr.”.

Ada pula yang komen, gelaran “awak” lebih baik daripada “kau”. Bukan itu masalahnya. Fokus! Isunya adab dan hormat, bukannya “it can be worse”.

Kalau tak boleh nampak juga, cuba lihat dalam konteks berbeza. Bayangkan, adakah manis seseorang datang ke rumah anda sebagai calon menantu dan memanggil ibu anda dengan panggilan “awak”? Jangan lupa, Dr. Harlina ini sebaya Mak kita.

Saya pasti penekanan kepada gelaran “Dr.” itu bukanlah berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi lebih kepada memberi contoh supaya perkhidmatannya lebih baik pada masa hadapan. Ambillah yang baik. Jangan mudah melatah. Kalaupun beliau memang riak, itu bukan masalah kita.

Saidina Ali kata, "Jangan melihat siapa yang bicara tapi lihatlah apa yang dibicarakan." Bersangka baiklah, dan berfikiran terbuka. Benda yang salah kita jangan halalkan hanya kerana perkara remeh.

Jika di Indonesia, gelaran Ibu, Bapak dan Mas digunakan dalam perbualan walaupun tidak formal, mengapa kita tak boleh? Bukankah lebih manis? “Awak” dan “saya” itu kita simpan untuk rakan-rakan yang rapat.

Tapi itu kalau kita mahu yang baiklah. Kalau tak mahu, terpulang. Bahasa itu melambangkan peribadi, kata Dr. Harlina. Takkan itu pun kita nak nafikan?

Memang gelaran tak bawa ke mati, tapi janganlah lupa budi baik dan kesopanan ada tertulis pahala juga.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Betul tak?

You May Also Like

1 comments

  1. OAK LED Co ,Limited specialized in high power led lighting for stadium We offer 100 2000w LED Football Stadium Light With one of the top football stadium light manufacturers and suppliers, we produce high quality products with reliable quality led stadium light

    BalasPadam

google.com, pub-9992573824785365, DIRECT, f08c47fec0942fa0