NING TERKEJUT DI KAITKAN DENGAN MINUMAN KERAS


KUALA LUMPUR, 12 SEPT 2012: Tidak seperti penyanyi Mizz Nina yang mengakui sudah 2 kali menyertai persembahan itu, Ning Baizura secara rasminya telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjayakan persembahan anjuran sebuah syarikat minuman keras terkenal yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini.

Pengesahan Ning menarik diri ini telah disahkan oleh pihak pengurusan Ning iaitu HappenNings (M) Sdn Bd menerusi kenyataan media yang telah disiarkan di laman web rasmi milik penyanyi ini.

Menerusi kenyataan itu, Ning difahamkan berasa kecewa dengan memaklumkan bahawa gambarnya itu telah digunakan di poster persembahan berkenaan tanpa persetujuan darinya.

Malah, Ning dengan jelasnya memaklumkan dia tidak pernah melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung untuk mempromosi program tersebut.

"Ning telah ditempah oleh pihak pengurusan Souled Out untuk membuat persembahan pada 28hb September 2012. Ning bukannya ditempah oleh Guinness Anchor Berhad (GAB). Dengan ini, kami ingin menegaskan bahawa, Ning tidak ada sebarang kaitan dengan GAB.

"Ning dan pihak pengurusan memang sentiasa berhati-hati supaya tidak terlibat dengan mana-mana syarikat yang mempromosikan minuman keras. Kami juga tidak mengetahui dan terkejut tentang poster yang telah disebarkan melalui internet.

"Kami ingin memaklumkan kepada semua pihak bahawa Ning telah menarik diri daripada persembahan tersebut," sumber dari pihak pengurusan Ning.

Ulasan

Catat Komen