Nealofa boleh di dakwa

by - Mac 04, 2018

KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon dan pengacara popular, Neelofa mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung beliau di sebuah pusat hiburan di ibu negara, Isnin lalu, boleh mendedahkannya kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, berdasarkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilyah Persekutuan) 1977, mana-mana orang dengan apa cara sekalipun yang boleh menyebabkan agama Islam itu dipandang hina, adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan yang dihantar menerusi emel, hari ini, beliau berkata, Neelofa juga berhadapan dengan tindakan mengikut Seksyen 35 Akta yang sama atas tuduhan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan Neelofa itu bukan sahaja boleh memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung tetapi juga secara tidak langsung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

“Selepas ini pasti ada yang beranggapan wanita Muslimah boleh pergi dan menari di kelab malam, asalkan mereka memakai tudung. Ini persepsi yang silap dan perlu diperbetulkan kerana Islam mensyariatkan seseorang wanita itu perlu menutup aurat untuk menjaga maruah dan melindungi mereka daripada terjebak dengan perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak,” katanya.

Salkukhairi berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap selebriti itu atau sebaliknya.

“Undang-undang sudah ada. Cuma ia terserah kepada MAIWP sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atau tidak.

“Jika pihak berkuasa agama ingin mengekang perbuatan itu, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran dan mendidik masyarakat Islam supaya lebih sensitif, terutamanya bagi seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut seperti Neelofa,” katanya.

Salkukhairi juga menasihati masyarakat Islam supaya lebih peka dan menghormati kesucian Islam dan sentiasa merujuk kepada ulama dan pakar undang-undang sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Sumber - astro awani

You May Also Like

1 comments

google.com, pub-9992573824785365, DIRECT, f08c47fec0942fa0