Untungnya kerja kerajaan

by - November 16, 2017

PETALING JAYA: Ponteng kerja ialah masalah disiplin paling banyak dicatatkan Kementerian Pendidikan sejak 7 tahun lalu. Walaupun 2002 hari ponteng baru dibuang kerja kerajaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dipetik Bernama sebagai berkata, daripada 3,450 kes dalam pelbagai kategori kesalahan yang dikendalikan kementerian itu, sebanyak 1,912 kes (55.4%) tidak hadir bertugas dicatatkan sejak 2010 hingga Oktober tahun ini.

Katanya, daripada semua kes ponteng kerja itu, sebanyak 1,311 kes (68.57%) merupakan kesalahan dilakukan anggota kumpulan pelaksana, manakala 601 kes (31.43%) membabitkan kumpulan pengurusan dan profesional.

Beliau berkata, terdapat 1 kes di mana seorang kakitangan di kawasan pedalaman dibuang kerja kerana tidak hadir bertugas selama 2,002 hari atau 5 tahun.

“Ini cerita di sekolah pedalaman dan kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku hingga tidak hadir selama 2,000 hari waktu bekerja,” katanya dipetik Astro Awani selepas merasmikan Hari Integriti Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.

“Kita tidak tahu apa masalahnya hingga guru besar pujuk bertahun-tahun. Saya tidak kata guru…mungkin kerani, mungkin pembantu makmal.

“Kita ambil kira isu penjawat awam di kawasan pedalaman seperti terpaksa menaiki bot selama 6 jam, menaiki kereta selama 2 jam dan kemudian berjalan kaki selama 4 jam dan saya tidak kata itu masalah yang dihadapi mereka.”

Mahdzir berkata, antara alasan kakitangan ponteng kerja ialah masalah keluarga, beban hutang dan tugas harian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penjawat awam yang berdepan masalah merujuk bahagian kaunseling yang disediakan di setiap jabatan.

Katanya, elemen intergriti dalam kalangan penjawat awam bukan hanya tertumpu kepada rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa, tetapi turut merangkumi kecuaian, kelemahan tadbir urus, pengurusan kewangan, isu pelanggaran disiplin seperti tidak hadir bertugas atau menjalankan tugas.

Beliau berkata, kesalahan ponteng kerja tidak boleh dipandang ringan dan tindakan drastik akan diambil selepas siasatan terperinci dijalankan.

Dalam pada itu, katanya, kesalahan ke-2 tertinggi yang dicatatkan Kementerian Pendidikan ialah tatacara kewangan sebanyak 227 kes, penyalahgunaan dadah (205 kes), kesalahan jenayah (181 kes), pelanggaran disiplin (158 kes) dan gangguan seksual (120).

“Dari segi hukuman, 1,996 hukuman dikenakan terhadap pesalah tatatertib. Daripada jumlah tersebut, hukuman buang kerja tertinggi, iaitu sebanyak 947 kes, manakala hukuman ke-2 tertinggi ialah amaran (270 kes), kurangkan gaji (227 kes), tangguh pergerakan gaji (107 kes), denda (79 kes), lucut hak emolumen (58 kes) dan turun pangkat (36 kes).”

Sumber

You May Also Like

0 comments

google.com, pub-9992573824785365, DIRECT, f08c47fec0942fa0