Bubar kahwin tanpa jatuh talak

Untuk sesiapa yang keliru atau curious mengenai kes pembubaran perkahwinan ini, disini saya sertakan serba sedikit sumber dari jakim. Harap membantu serba sedikit untuk orang awam faham 😊😊😊

Faraq: Bubar kahwin tanpa jatuh talak

Faraq berasal daripada perkataan faraqa dan kata terbitannya ialah tafriq yang bermaksud perkahwinan dipisahkan atau dibubarkan.

Pada sudut istilah, faraq yang digunakan di dalam kitab fiqah membawa maksud pemisahan atau pembubaran bagi perkahwinan sama ada melalui talak dan selainnya.

Namun, dalam sistem perundangan Islam di Malaysia, perkataan faraq digunakan bagi merujuk kepada sesuatu pembubaran perkahwinan bukan melalui talak.

Asas pengambilan hukum

Faraq sering disebut dalam kitab fiqah dan selalunya ia dikaitkan dengan kesan daripada perkahwinan yang tidak sah.

Ia berbeza dengan talak rajie (cerai yang boleh dirujuk) kerana pembubaran perkahwinan melalui talak adalah disebabkan tiada persefahaman dan seumpamanya, sedangkan faraq disebabkan rukun perkahwinan itu sendiri tidak sah.

Dalam hal faraq hanya mahkamah yang boleh menentukan kesahihan suatu perkahwinan.

Justeru, perintah faraq juga hanya boleh dikeluarkan oleh mahkamah apabila terbukti sesuatu perkahwinan itu tidak sah.

Akad nikah tidak sah ialah nikah yang tiada salah satu syarat atau tiada kebanyakan daripada syarat sah nikah.

Hukum perkahwinan

Secara umumnya hukum bagi perkahwinan boleh dikategorikan kepada dua iaitu sama ada ia sah atau tidak.

Namun, sesetengah ulama seperti dalam mazhab Hanafi membezakan antara perkahwinan batil (batal) dan fasid (rosak).

Perkahwinan sah

Perkahwinan yang sah adalah perkahwinan memenuhi segala rukun dan syarat perkahwinan. Bagi perkahwinan yang sah, ia mempunyai kesan bagi semua perkara berkaitan dengan suami isteri.

Ini termasuk mas kahwin (mahar), nafkah untuk isteri, nasab terhadap anak dilahirkan dan kesan terhadap pengharaman persemendaan (pengharaman berkahwin disebabkan wujud kaitan perkahwinan).

Perkahwinan tidak sah (yang batil menurut pendapat Imam Abu Hanifah)

Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad mengatakan bahawa perkahwinan yang batil tidak mempunyai kesan undang-undang sebagaimana berlaku ke atas perkahwinan sah.

Justeru, tidak halal bagi suami melakukan persetubuhan dengan perempuan dikahwininya itu.

Malah, dari segi yang lain pula perempuan dikahwini itu tidak berhak mendapat nafkah, mahar dan tidak diwajibkan idah.

Isteri itu juga tidak terbabit dengan pegharaman musaharah (pengharaman berkahwin disebabkan wujud kaitan perkahwinan) dengan mana-mana lelaki daripada kalangan keluarga suami.

Menurut mazhab itu lagi, sekiranya berlaku persetubuhan, kadi hendaklah memfaraqkan mereka secara paksa.

Sementara dalam kalangan ulama mazhab Maliki (yang tidak membezakan antara perkahwinan batil dan fasid), ada beberapa hukum daripadanya iaitu:

* Haram dan diwajibkan faraq serta-merta

* Diwajibkan membayar mahar dengan berlakunya persetubuhan

* Sekiranya akad itu dipertikaikan atau disepakati mengenai fasidnya, anak dilahirkan hasil daripada akad berkenaan tetap dinasabkan kepada bapanya

Persetubuhan antara mereka berdua tidak dianggap zina dengan syarat pihak suami tidak menyedari ia adalah haram.

* Bagi akad fasid yang dipertikaikan, ia masih memberi kesan undang-undang berkaitan dengan hak warisan antara suami isteri.

Jika salah seorang daripada mereka mati sebelum faraq, pasangan masih hidup berhak mewarisi harta pasangannya. Namun, bagi perkahwinan disepakati fasid, hak warisan tidak wujud sama sekali.

* Sabit pengharaman persemendaan bila berlaku persetubuhan atau permulaan persetubuhan tanpa mengira perkahwinan itu disepakati fasid atau dipertikaikan.

* Perempuan yang difaraqkan dan sudah disetubuhi suaminya diwajibkan idah sekiranya ingin berkahwin dengan lelaki lain, tetapi tidak jika dengan lelaki sama.

Sumber: JAKIM

Ulasan

Catat Ulasan